Anggota tentera mengawal pergerakan masuk dan keluar di bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Kes aktif dijangka menurun, dua fasa PKP berjaya

SHAH ALAM, 11 APRIL: Bilangan kes Covid-19 yang sedang dirawat dijangka turun selepas Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua tamat pada 14 April ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2,462 kes hari ini dijangka turun kepada 2,033 kes minggu depan berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti,” katanya pada sidang media hari ini.

Angka kes sedang dirawat atau kes aktif yang masih boleh berjangkit adalah jumlah kes keseluruhan yang ditolak jumlah pesakit sembuh dan kematian.

Dr Noor Hisham juga mengulangi gesaan supaya orang ramai bekerjasama memutuskan rantaian wabak dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dan kerap mencuci tangan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 184 kes baharu direkodkan dengan tiga lagi kematian manakala 165 pesakit pulih.

Sebanyak 4,530 kes positif dicatatkan di seluruh negara dengan 73 kematian manakala 1,995 pesakit sembuh.


Pengarang :