Pekerja warga asing ditempatkan di asrama di Cochrane Lodge 2 yang diwartakan menjadi tempat pengasingan bagi mengelak penularan Covid-19 pada 14 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KKM kesan 601 warga asing dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 601 kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di negara ini dengan warganegara Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi 108 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak 356 kes sedang dirawat, 224 pulih dan tiga kematian.

“Ia membabitkan pelancong, pekerja asing, pelarian serta pemohon suaka.

“Sebanyak 108 kes membabitkan warga Indonesia, Filipina (104), Bangladesh (63), India (60) dan Pakistan dengan 51 kes,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mengambil iktibar daripada situasi di Singapura yang mencatatkan peningkatan kes berikutan penularan wabak itu di asrama pekerja didiami warga asing.

Katanya, sehubungan itu majikan yang menggajikan pekerja asing diminta mengambil langkah seperti berikut:

• Pemeriksaan suhu badan dan gejala
• Penyediaan tempat mencuci tangan atau cecair pembunuh kuman
• Kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman
• Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter
• Elakkan pekerja berkumpul di ruang sempit
• Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa
• Amalkan jarak satu meter semasa bercakap


Pengarang :