Petugas dari pelbagai agensi disembur cecair pembasmi kuman selepas melakukan proses nyahkuman bagi membendung penularan Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Panduan cegah Covid-19 di institusi jagaan warga emas

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan penghidap penyakit kronik terutama warga emas adalah golongan paling berisiko dijangkiti Covid-19.

Sehubungan itu, KKM menerusi Twitter memaklumkan penghuni, pekerja, majikan dan pelawat di institusi jagaan warga emas perlu bekerjasama bagi mencegah wabak berkaitan dengan memberi panduan mengenainya.

Antara pendekatan disenaraikan menerusi sumber daripada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga untuk diikuti penghuni institusi ialah memaklumkan kepada penjaga dengan segera jika berasa tidak sihat selain memakai penutup hidung dan mulut jika mengalami simptom sakit tekak, batuk atau selsema.

Bagi pekerja disaran membantu melindungi diri, rakan sekerja dan penghuni institusi dari jangkitan Covid-19 dengan:
– Cuci tangan sebelum dan selepas kendali perkakasan / persekitaran / peralatan dan penghuni
– Pastikan memakai alat pelindung seperti sarung tangan, penutup hidung dan mulut, penutup kepala dan sarung pakaian apabila mengendali penghuni yang sakit.
– Maklumkan kepada majikan sekiranya anda atau penghuni yang tidak sihat dan dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital

Majikan pula boleh membantu melindungi pekerja dan penghuni institusi dari jangkitan Covid-19 dengan:
– Pastikan bekalan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman mencukupi
– Sediakan penutup mulut dan hidung, sarung tangan, penutup kepala dan sarung pakaian yang cukup
– Asingkan penghuni yang sakit dan dapatkan rawatan segera
– Pastikan pekerja sihat sebelum masuk ke tempat kerja
– Amalkan penjarakan sosial dan jaga kebersihan institusi

Manakala pelawat perlu mengelak melawat institusi sehingga wabak tamat serta tindakan berikut:
– Jika perlu pastikan anda tiada sejarah perjalanan ke tempat jangkitan Covid-19 atau ke perhimpunan ramai dalam tempoh 14 hari
– Bukan kontak rapat pesakit positif Covid-19
– Ringkaskan lawatan dan elak kontak dengan penghuni
– Cuci tangan sebelum dan selepas lawatan


Pengarang :