Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM pastikan pesakit pulih laku ujian saringan kedua, kaunseling

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan pesakit pulih Covid-19 dan dibenarkan keluar hospital diambil ujian saringan kali kedua serta diberikan kaunseling bagi mengelakkan jangkitan berulang, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jika terdapat dalam kalangan bekas pesakit kembali positif, mereka tetap dibenarkan keluar hospital kerana virus itu dikategorikan lemah dan tidak boleh dijangkiti.

“Sebelum keluar hospital kita tetap jalankan saringan dan jika didapati mereka positif, itu adalah positif yang lemah iaitu proses ‘virus shading’ sedang berlaku. Proses ini mungkin positif tetapi tidak dijangkiti,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham diminta mengulas mengenai lima kes jangkitan semula di Sabah selepas saringan semula dilakukan kepada mereka.

Hari ini, KKM mengesahkan kadar kesembuhan pesakit Covid-19 mencapai tahap 61.1 peratus iaitu tertinggi di Asean.

Terdapat 54 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sepenuhnya 3,349 kes.

Manakala, 57 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,482 kes.


Pengarang :