Petugas KKM melakukan pemeriksaan serta ujian saringan Covid-19 bagi setiap penghuni Flat Selangor Mansion di Kuala Lumpur pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM periksa petugas hadapan secara berkala

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan petugas barisan hadapan dijangkiti Covid-19 ketika memberikan rawatan di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti didakwa segelintir pihak, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan berkala dan menitik beratkan amalan pencegahan dengan memakai sut pelindung diri (PPE) ketika merawat pesakit.

“Tetapi yang harus ditegaskan di sini tidak ada seorang pun, saya ulang tidak ada seorang pun yang berkhidmat di wad Covid-19 atau ICU yang dijangkiti setakat ini. Bermaksud mereka mengamalkan langkah pencegahan dan memakai PPE semasa melaksanakan tugas,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KKM mengadakan dua mesyuarat bersama pihak swasta pada 1 dan 12 Mac lalu supaya pengurusan hospital dan klinik swasta meningkatkan langkah pencegahan mengelakkan petugas dijangkiti.

Noor Hisham berkata walaupun 181 kakitangannya disahkan positif, 122 daripadanya dijangkiti di luar hospital dan dua kematian bukan direkodkan ketika bertugas sebaliknya membabitkan perjalanan ke Turki dan Indonesia.


Pengarang :