Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya.
AGENDANASIONAL

KKM pertimbang kajian penularan Covid-19 dalam komuniti

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang pertimbangkan pelaksanaan kajian penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian tersebut akan melibatkan saringan terhadap penduduk setempat bagi mengukur antibodi individu yang telah dijangkiti Covid-19.

“Jadi kalau mereka terdedah kepada virus tersebut, maka dalam tempoh seminggu akan terbinanya antibodi atau IgG (Immunoglobulin G) dengan IgM (Immunoglobulin M).

“Jadi ini mungkin kajian yang baik yang boleh kita pertimbangkan, mungkin kita akan lihat masa yang sesuai untuk kita melaksanakan ujian tersebut dan ujian ini akan menggunakan kit ujian antibodi yang cepat (dapat keputusan) iaitu kita dapat ukur antibodi atau IgG atau IgM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata menerusi kit ujian tersebut, hanya perlukan setitis darah untuk mengukur antibodi tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian itu bukan untuk diagnosis tetapi bagi mengetahui berapa ramai dalam kalangan komuniti yang telah dijangkiti Covid-19.

Katanya, kajian itu juga memerlukan kerjasama rapat dengan pihak swasta bagi memastikan maklumat yang dikumpul adalah terkini dan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sebelum ini seorang pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar mencadangkan KKM mengukur kadar jangkitan dalam komuniti bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

Mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut jenis N95 di Hospital Umum Kuching, Sarawak, Dr Noor Hisham berkata penggunaan penutup hidung dan mulut jenis itu diutamakan kepada petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad rawatan Covid-19.

Jelasnya, petugas kesihatan di klinik biasa pula boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapisan sekiranya tidak berdepan dengan pesakit Covid-19.

“(Petugas) bukan di wad Covid-19 boleh guna (penutup hidung dan mulut) tiga lapisan, penutup hidung dan mulut jenis N95 kena jimat untuk mereka yang memerlukan di wad ICU dan wad Covid-19.

“Tetapi kalau tidak ada N95, petugas boleh guna alat pelindung muka dan penutup hidung dan mulut tiga lapisan untuk mereka yang kerja di klinik dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :