Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM sahkan lapan pegawai perubatan dari China bebas Covid-19

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan lapan pegawai perubatan China yang tiba di Malaysia pada 18 April lalu tiada gejala Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Bagaimanapun, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumpulan itu tetap disaring dan dikuarantin termasuk pergerakan mereka dikawal KKM.

“Mereka tidak mempunyai gejala dan saringan sudah dilakukan oleh kementerian dan sebelum tiba ke Malaysia mereka juga disaring di China,” kata beliau pada sidang akhbar harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pegawai perubatan Malaysia akan menggunakan peluang untuk berkongsi ilmu dan belajar daripada pegawai perubatan China mengenai wabak Covid-19.

“Kita berbincang mengenai langkah yang perlu dilaksanakan selain berkongsi pengalaman demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, pihaknya akan melindungi zon hijau Covid-19 terutama di utara semenanjung bagi mengelak adanya kes baharu.

“Kita akan terus melindungi zon hijau ini dengan tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perancangan itu dalam tempoh seminggu dua akan datang,” katanya.


Pengarang :