Pasukan petugas perubatan menjalankan saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM sasar saring pelajar tahfiz dikaitkan kluster madrasah

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Selepas kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling di Kuala Lumpur, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mengesan semua pelajar madrasah tahfiz yang ada kaitan dengan penularan wabak Covid-19 untuk menjalankan ujian pengesanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, KKM mendapat maklumat bahawa terdapat sejumlah 8,616 pelajar madrasah tahfiz di seluruh Malaysia.

Beliau berkata sejumlah 1,736 pelajar madrasah tahfiz telah disaring dan 217 orang atau 10 peratus daripada jumlah yang disaring adalah positif Covid-19.

“KKM melihat selepas kluster tabligh, sasaran sekarang adalah pelajar madrasah tahfiz… Seramai 1,736 pelajar tahfiz telah disaring, iaitu mereka yang ada di madrasah tetapi kebanyakan mereka pun sudah pulang ke rumah masing-masing sebelum Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sekarang kita kena laksanakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia serta agensi lain untuk menyaring dan melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelajar tahfiz ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Untuk rekod, empat madrasah iaitu Madrasah di Jerantut (Pahang), Madrasah di Penanti (Pulau Pinang), Madrasah di Sungai Lui (Selangor) dan Madrasah di Jasin (Melaka) merupakan antara kluster yang telah dikenal pasti di Malaysia.

Mengenai perkembangan kluster madrasah terbabit, beliau berkata terdapat dua kes positif baharu dilaporkan di Madrasah di Jerantut, menjadikan jumlah kumulatif kes ialah 64 manakala tiada penambahan kes positif di tiga lagi madrasah.

Menjawab persoalan membabitkan kluster persidangan gereja di Sarawak iaitu sama ada perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di lokaliti itu, Dr Noor Hisham berkata tiada keperluan mengeluarkan arahan tersebut setakat ini.

Katanya, kluster itu masih dalam keadaan terkawal malah tiada kes positif baharu dilaporkan.

– BERNAMA


Pengarang :