Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM seru masyarakat tidak diskriminasi pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru masyarakat tidak mempersalahkan atau mendiskriminasi pesakit serta kumpulan dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebaliknya sebagai individu prihatin seseorang itu perlu bantu mengesan bagi merawat jangkitan wabak tersebut dalam kalangan mereka yang terlibat, keluarga serta kontak.

“Masyarakat diseru untuk mengelak langkah seperti itu kepada mana-mana pesakit atau kumpulan dikaitkan dengan kluster terbabit. Janganlah kita stigmakan mereka,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata orang awam dipohon untuk memberi kerjasama kepada agensi terlibat dalam memenangi wabak tersebut.

“Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu akan datang ini penting. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun serta sentiasa amalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.


Pengarang :