Terowong pembersihan kuman dihasilkan oleh Jabatan Kejuruteraan MPS untuk kegunaan pengunjung di pasar awamnya.
AGENDANASIONAL

KKM tidak syor guna kotak basmi kuman cegah Covid-19

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyarankan penggunaan beberapa peralatan termasuk kotak pembasmi kuman atau terowong pembersihan sebagai langkah mengurangkan jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada bukti menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan mengurangkan jangkitan berkenaan selepas model peralatan daripada beberapa negara dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM.

“Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia.

“Bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (mucous membrane) seperti di mata dan mulut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata proses nyahkuman oleh peralatan yang dinilai melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20-30 saat apabila individu disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman.

“Penilaian dilakukan terhadap beberapa model peralatan tersebut daripada beberapa negara dan model sedia ada di Malaysia. Semua model dikaji menggunakan bahan kimia berlainan,” katanya.


Pengarang :