Petugas Kementerian Kesihatan membawa seorang penghuni Menara City One dengan ambulans di pekarangan kondominium berkenaan untuk menjalani saringan Covid-19 pada 16 April. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Warga emas, pekerja asing diberi fokus saringan Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang berkaitan, untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penghuni rumah orang tua dan pekerja asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan ujian saringan di rumah orang tua, khususnya yang padat dengan penghuni.

Bagi pekerja asing pula, beliau berkata beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) tampil membantu KKM untuk melakukan ujian saringan serta menjejaki kumpulan itu.

“Kami menyedari sebilangan pekerja asing tidak tampil, jadi kami perlu bekerjasama dengan beberapa NGO dan akan terus meningkatkan perkhidmatan dari segi saringan, pengesanan dan penjejakan, ujian, pengasingan dan merawat mereka.

“Setakat ini belum ada kluster dalam kalangan pekerja asing,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas 465 individu di Pasar Borong Selayang, dan mendapati hanya tiga peratus atau 13 daripada pekerja asing didapati positif Covid-19.

Katanya, KKM akan terus meneliti kawasan berisiko tinggi terutama dalam komuniti yang mempunyai ramai pekerja asing.

— BERNAMA


Pengarang :