AGENDANASIONAL

Klinik veterinar diizin beroperasi, ikut temu janji

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan membenarkan perkhidmatan klinik veterinar swasta untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun perkhidmatan rawatan ke atas haiwan harus dilakukan berdasarkan temu janji sahaja bagi mengelakkan kesesakan di premis.

“Pemilik haiwan peliharaan perlu menghubungi klinik veterinar berdekatan dengan lokasi mereka tinggal untuk mendapatkan tarikh (temu janji). Ini bagi mengelak klinik sesak selain untuk mengawal pergerakan secara besar-besaran,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta penduduk di zon hijau supaya terus mematuhi PKP walaupun kawasan didiami mereka tiada lagi kes positif Covid-19.

“Undang-undang PKP masih berjalan seperti biasa dan jika berlaku pelanggaran perintah mereka akan terus ditangkap, jadi patuh arahan serta beri kerjasama,” katanya.


Pengarang :