Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak pembinaan Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Serdang pada 3 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kontraktor langgar SOP ketika PKP disenarai hitam

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kontraktor yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dan beroperasi tanpa kelulusan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disenarai hitam, kata menteri kanan (kluster infrastruktur).

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kontraktor terbabit juga berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan undang-undang pihak berkuasa tempatan.

“Mereka harus mematuhi SOP ditetapkan seperti di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang menetapkan panduan perlu diikuti di tapak pembinaan, pergerakan pekerja dan keadaan dalam kuarters.

“Kita bekerja bukan dalam keadaan biasa tetapi ketika PKP bagi mengekang penularan Covid-19. Penting untuk syarikat mengikut SOP selepas diberikan kebenaran melaksanakan kerja,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mulai 13 April lalu kerajaan membenarkan beberapa sektor kritikal beroperasi ketika PKP terutama pembinaan, bagaimanapun ia perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan CIDB.

Antara syaratnya ialah projek tidak membabitkan pekerja ramai, kemajuan pembinaan mencapai 90 peratus, kerja kecil dilaksanakan kontraktor G1 dan G2 serta perlu ada pembersihan atau penyelenggaraan di tapak untuk mengelakkan pembiakan aedes.

SOP lengkap bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan ketika perintah kawalan boleh dimuat naik di portal rasmi CIDB, http://www.cidb.gov.my/

Dalam pada itu, Fadillah berkata CIDB menerima sebanyak 19,077 permohonan daripada syarikat kontraktor dengan 1,856 diluluskan manakala lebih 7,000 ditolak manakala selebihnya masih dalam proses.

“Punca permohonan ditolak kerana syarikat tidak memberikan maklumat lengkap,” katanya.


Pengarang :