Seorang kakitangan perubatan berehat di kawasan pandu lalu ujian saringan Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KP Kesihatan kongsi video cara ambil sampel Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi video pengambilan sampel Covid-19 melalui kaedah pandu lalu dan laluan pejalan kaki di Klinik Kesihatan Seksyen 19 di sini.

Menerusi video di Facebooknya, klinik terbabit menggalakkan individu yang mahu mengambil sampel menggunakan kaedah pandu lalu dengan memakai topeng, tidak membuka pendingin hawa ketika dalam perjalanan dan hanya seorang peneman dibenarkan.

“Sekiranya anda mendapatkan rawatan dan memenuhi kriteria untuk persampelan, anda akan dimaklumkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi lokasi, tarikh dan masa untuk pengambilan sampel.

“Anda juga perlu pengisi borang (Google Form) menerusi pautan yang dihantar sehari sebelum tarikh temu janji,” pesan kakitangan klinik terbabit.

Apabila tiba di lokasi saringan, individu perlu mengemukakan nombor kad pengenalan dan menunjukkan maklumat SMS bagi pengesahan janji temu.

Ketika pengambilan sempel dilakukan di kaunter dua, pegawai kesihatan akan mengesahkan butiran maklumat dan individu perlu menurunkan tingkap serta mematikan enjin.

Selepas selesai, pegawai kesihatan akan memberikan maklumat dan surat kuarantin sebelum dibenarkan pulang.

 


Pengarang :