Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman (tengah) membuat pemantauan barang keperluan di Pasaraya Tesco di IOI City Mall , Putrajaya pada 8 April 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

KPDNHEP: Bekalan cukup di pasar, tiada masalah harga

SHAH ALAM, 13 APRIL: Pemantauan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di 14 premis pasar raya dan pasar basah di negeri ini semalam mendapati tiada masalah terhadap bekalan dan harga barangan dijual.

KPDNHEP berkata pemantauan oleh 13 pegawainya mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas pada setiap barangan yang dijual.

“Sebanyak 50 barangan terpilih diperiksa meliputi barangan basah dan kering termasuk gula, beras, tepung, minyak masak dan barangan dalam tin supaya bekalan terkawal dan mencukupi.

“Tiada tanda harga yang mengelirukan dan hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati harga dipamer adalah sama dengan yang dibayar oleh pelanggan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Selain itu, KPDNHEP turut memaklumkan tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna melalui pemantauan di 91 premis di seluruh negeri.

Agensi itu turut menasihatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuat kuasa KPDNHEP.

“Setiap data yang diambil oleh pegawai pemantau harga di Shah Alam dan semua cawangan di Selangor dikumpul dan dijadikan laporan penuh ke Ibu Pejabat Bahagian Unit Harga Negara.

“Selain itu, laporan pembelian panik juga disalurkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk maklumat terkini yang membantu pihak kementerian menganalisis masalah ekonomi dan bekalan negara dengan lebih mendalam,” katanya.


Pengarang :