AGENDANASIONAL

KPDNHEP benar tiga sektor kecil operasi semasa PKP

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan tiga subsektor tambahan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga yang berakhir 28 April ini.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata tiga subsektor berkenaan ialah kedai barangan logam, kedai barangan elektrik dan elektronik (tidak termasuk kedai peralatan telekomunikasi dan peralatan ICT) serta perkhidmatan dobi penuh.

Beliau berkata semua permohonan bagi subsektor tambahan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) secara dalam talian di laman sesawang www.miti.gov.my /https://application.miti.gov.my.

“Hanya permohonan yang menepati syarat tatacara operasi piawai (SOP) dan lengkap sahaja akan dipertimbangkan. Permohonan yang diterima selain daripada melalui portal tersebut tidak akan diproses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata syarikat di bawah subsektor tambahan itu yang ingin mengemukakan permohonan hendaklah memastikan lokasi operasi syarikat tidak berada di zon merah dan kuning, atau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta,” katanya.

Nanta, dalam pada itu, berkata syarikat yang menjalankan aktiviti rantaian pembekalan makanan, e-dagang serta perkhidmatan pengedaran yang telah menerima pengesahan kebenaran daripada KPDNHEP sebelum atau pada 14 April lepas, tidak perlu mengemukakan permohonan baharu dan boleh meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Surat kelulusan yang telah dikeluarkan sebelum ini masih berkuat kuasa dan terpakai,” katanya.

Bagi permohonan aktiviti rantaian pembekalan makanan, e-dagang dan perkhidmatan logistik yang telah dikemukakan kepada KPDNHEP sebelum ini dan masih belum menerima pengesahan kebenaran untuk beroperasi, boleh membuat permohonan baharu secara dalam talian di laman sesawang www.miti.gov.my. , katanya.

-BERNAMA


Pengarang :