KPDNHEP boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga barang jika berlaku kenaikan melampau. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPDNHEP laksana mekanisme kawal harga tidak munasabah ketika PKP

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga pada bila-bila masa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya berlaku kenaikan yang tidak munasabah.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini menyebut mekanisme itu akan dilaksanakan seperti Skim Harga Maksimum semasa musim perayaan sebelum ini.

Beliau berkata sebanyak 25,543 meliputi peringkat runcit, borong serta kilang dijalankan dalam tempoh 18 Mac hingga 15 April lalu membabitkan pemantauan bekalan dan harga terhadap 25 jenis barangan keperluan.

“Hasil pemantauan mendapati kedudukan bekalan 25 barangan tersebut mencukupi dalam pasaran,” katanya.

Bagi kategori makanan kering, pemantauan bekalan dan harga yang dilakukan ialah terhadap gula, minyak masak, tepung gandum, beras, susu tepung, biskut, sardin, mi segera serta roti putih.

Kategori barang segar ialah ayam, makanan sejuk beku, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar manakala kategori minuman ialah air mineral, malt coklat jenama milo dan kopi/teh.

Bagi kategori kebersihan dan kesihatan pula ialah cecair pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa dan paracetamol (panadol).

Nanta berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, sejumlah 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNHEP digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas barangan keperluan di seluruh negara.

Beliau berkata pemantauan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“KPDNHEP memberi tumpuan berterusan dalam memastikan bekalan barangan keperluan rakyat mencukupi dan harga barang terkawal semasa PKP Fasa 3 (sehingga 28 April),” katanya.

Jika ada mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui:

(i) Portal [email protected]

(ii) Pusat Panggilan 1800 886 800

(iii) E-mel [email protected]

(iv) aplikasi telefon pintar Ez ADU

(v) Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6245 / 6088

(vi) talian 03-8000 8000 Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MYGCC)

(vii) lapor/hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :