Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor terima 637 aduan, 29 kes dikompaun

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 637 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga semalam, kata pengarahnya.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu, 29 kes dikenakan kompaun RM2,800 kerana kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan tindakan itu berikutan kesalahan peniaga terutama kedai runcit yang menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas.

“Sejak PKP bermula dan sehingga semalam sejumlah 1,269 premis diperiksa di seluruh negeri dengan tumpuan kepada tiga sektor iaitu makanan asas, bahan api dan farmaseutikal seperti topeng muka.

“Menerusi pemerhatian dilakukan pegawai setakat ini bekalan makanan serta keperluan harian berada dalam keadaan stabil dan mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai skim kawalan harga maksimum yang akan dilaksana, Muhamad Zikril berkata KPDNHEP Selangor turut mengadakan rundingan bersama pihak pembekal dan peruncit bagi mendapatkan data yang kemudian disalurkan kepada KPDNHEP Putrajaya sebagai maklumat mengenai trend harga di negeri ini.

“Ini supaya pembekal, pemborong dan peniaga mematuhi harga kawalan dan pada akhirnya pembeli mendapat harga berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan pegawai KPDNHEP negeri memastikan langkah keselamatan seperti pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial dilaksanakan sepanjang mengadakan operasi.

“Banyak juga operasi pemeriksaan dilaksana di zon merah, namun tiada kes melibatkan anggota operasi, apa pun mereka perlu sentiasa berhati-hati serta peka dengan keadaan persekitaran,” katanya.


Pengarang :