AGENDANASIONAL

KPDNHEP terima lebih 10,000 aduan pelbagai isu sejak awal tahun

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 10,433 aduan mengenai pelbagai isu kepenggunaan sejak Januari sehingga kini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosol Wahid berkata daripada jumlah itu, 8,592 aduan disiasat dengan sebahagian daripadanya adalah aduan berkaitan harga barang, selain isu transaksi dalam talian, perkhidmatan mengelirukan, barang-barang kawalan dan perihal dagangan palsu.

“Ia bukan satu tugas yang mudah untuk mengendalikan sebegitu banyak aduan untuk diambil tindakan sewajarnya, apatah lagi penguat kuasa kita bekerja tanpa mengira waktu.

“Kita harap pengguna dapat bertolak ansur sekiranya ada aduan yang mengambil sedikit masa berikutan banyak prosedur siasatan perlu diperhalusi sebelum sesuatu tindakan boleh diambil,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas di ECC Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP di pejabat kementerian itu di Putrajaya, sempena meraikan sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-48 KPDNHEP semalam.

Walaupun suasana sambutan agak ‘suram’ susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, Rosol tetap mengambil inisiatif meraikan petugas di Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu biarpun secara kecil-kecilan.

Beliau berkata pegawai dan anggota penguat kuasa adalah antara tunjang penting KPDNHEP dalam melaksanakan fungsi kementerian itu.

“Ketika orang lain dapat duduk di rumah bersama keluarga sepanjang PKP, warga penguat kuasa KPDNHEP tetap komited menjalankan tugas turun padang memantau barang keperluan dan harga barang serta menerima aduan awam,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :