AGENSISELANGOR

KPDNHEP terima tujuh kes peniaga langgar peraturan di Ampang

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kajang merekodkan tujuh kes peniaga menjual barang melebihi harga jualan dan mengubahsuai alat penimbang.

Dalam operasi tiga jam di sekitar Ampang semalam, KPDNHEP diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kajang Mohamad Sani Mohammad Nor memeriksa kedai runcit, pasar mini dan kedai Acheh.

“Sebanyak tujuh kes dilaporkan dengan empat kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta tiga kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1971.

“Segala resit dan invois pembelian barangan basah disemak dan direkod bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPDNHEP turut menasihatkan peniaga untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik serta memberikan kepercayaan kepada pihak berwajib menguruskan hal berkaitan,” katanya.


Pengarang :