Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPN: Empat peratus ditahan ingkar PKP remaja bawah umur

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Empat peratus daripada 6,048 individu yang ditahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehingga semalam merupakan golongan remaja bawah 18 tahun.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar rumah.

“Saya ingin tegaskan kepada pengingkar tegar PKP yang merasakan dirinya ‘macho’ boleh melepak sesuka hati supaya memikirkan hukuman yang bakal mereka hadapi.

“Ingat kami bukan suka-suka hendak tangkap orang…oleh itu, patuhilah PKP dan duduk di rumah,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditanya jika ada penagih dadah menunjukkan simptom Covid-19, beliau berkata mereka diminta tampil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tidak membuat operasi berskala besar kecuali menerima maklumat mengenai aktiviti tokan serta pengedar dadah.

“Oleh itu, individu yang pernah mengambil dadah tidak perlu takut untuk tampil melakukan proses saringan Covid-19 kerana apa yang lebih penting adalah nyawa dan kesannya jika ia menjangkiti orang lain,” katanya.

Menjawab dakwaan mengatakan anggota polis tidak memeriksa setiap kereta di sekatan jalan raya, Abdul Hamid berkata: “Kami bukan tidak memeriksa setiap kereta yang melalui sekatan jalan raya, ia bergantung kepada budi bicara polis itu.

“Sebagai contoh, jika pemandu itu memandu secara individu, sudah tentu polis yang bertugas tidak menahannya sebaliknya membenarkan pemandu itu melalui seperti biasa, selain mengambil pendekatan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :