Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui media selepas tinjauan sekatan jalan raya oleh anggota polis di Kampung Sungai Lui, Batu 21, Hulu Langat pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPN pertahan tindakan tahan, dakwa individu ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan tindakan menahan dan menuduh di mahkamah individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah wajar.

Beliau berkata tindakan lebih tegas itu dibuat susulan pelaksanaan kompaun sebanyak RM1,000 dilihat kurang berkesan malah ada yang memperlekehkan perkara itu.

“Saya setuju (dengan tindakan itu) kerana ada menganggap kompaun itu sesuatu yang boleh diperlekehkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ditanya adakah polis mempunyai lokap yang cukup bagi menampung individu ingkar PKP, beliau berkata bilangan lokap sedia ada mencukupi.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan mengingkari PKP.

Ismail Sabri berkata individu yang ingkar akan terus ditahan dan dituduh di mahkamah.

Jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,090 dan keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 4,036, kata Ismail Sabri.

-BERNAMA


Pengarang :