Sekatan jalan raya dilakukan polis bersama tentera semasa Perintah Kawalan Pergerakan di pekan Dengkil, Sepang pada 3 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPN: Sistem khas pantau individu jalani tempoh kuarantin

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis mempunyai sistem khas bagi mengawasi individu yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah selepas mereka pulang dari luar negara.

Tanpa memperincikan butiran lanjut sistem khas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia digunakan untuk mengesan mereka yang keluar dari rumah dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata individu yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin harus mematuhi arahan KKM dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Sekiranya mereka ingkar dan berdegil keluar rumah dalam tempoh kuarantin, polis boleh mengambil tindakan dengan menahan serta mendakwa mereka… tindakan mereka (keluar rumah) membahayakan orang lain jika dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata selain itu, untuk memastikan keberadaan individu dikuarantin di rumah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara diarah membuka pusat panggilan dengan menghubungi atau membuat panggilan video terhadap individu dikuarantin.

“IPD-IPD terlibat diberikan tanggungjawab memantau mereka namun atas faktor kekangan keanggotaan, kami meminta bantuan Jabatan Sukarelawan (Malaysia) untuk membuat tinjauan ke rumah mereka serta menggunakan kaedah sama (menghubungi dan membuat panggilan video).

“Sampai macam itu sekali kami terpaksa buat untuk mengesahkan keberadaan individu dikuarantin untuk mereka sentiasa berada di dalam rumah,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis dan KKM hanya meminta individu dikuarantin berada di rumah dan bukannya diperintah untuk masuk lokap, oleh yang demikian, beliau berharap pihak terlibat akur dengan arahan itu.

“Ia adalah arahan amat mudah sekali iaitu untuk duduk di rumah dan mengkuarantinkan diri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya ada orang ramai yang menyembunyikan maklumat kluster Covid-19 daripada polis dan KKM, Abdul Hamid berkata ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Oleh itu, saya mohon orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat jika ada individu berdekatan mereka yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Jangan disebabkan anda menyorokkan maklumat kluster Covid-19, orang lain yang menjadi mangsa kerana ini adalah tanggungjawab bersama untuk memutuskan rantaian wabak itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :