AGENDANASIONAL

KPT tawar geran penyelidikan pasca Covid-19

PUTRAJAYA, 12 APRIL: Semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dipelawa membida geran penyelidikan khas bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang kritikal dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata sekurang-kurangnya RM20,000 akan diberikan bagi setiap penyelidikan yang dijalankan meliputi 20 bidang utama.

“Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan,” katanya.

KPT berkata, setiap Kertas Cadangan Penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

“Permohonan geran penyelidikan khas ini, akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian selama enam bulan,” katanya.

Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan itu dalam menentukan kesesuaian penyelidikan ini untuk dilaksanakan.

“Setiap hasil penyelidikan ini, akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ia sesuai untuk dilaksanakan di kementerian berkaitan,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, makluman rasmi pembukaan geran itu boleh diakses melalui Malaysia Greater Research Network System (MyGRANTS).

Penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek itu adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan terutamanya kepada Kementerian berkenaan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

“KPT yang mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf Profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf Profesor Madya,” katanya.

Dengan jumlah cendekiawan itu ia dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi selain menghadapi kehidupan baharu bagi mengelakkan wabak Covid-19 menular semula.

-BERNAMA


Pengarang :