AGENDANASIONAL

Kualiti udara bertambah baik ketika tempoh PKP

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kualiti udara di seluruh negara mencatatkan tahap yang baik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata paras pencemar udara menunjukkan penurunan di 65 stesen mencerap bahan cemar udara di seluruh negara.

“Ia berpunca daripada pengurangan aktiviti seperti asap kenderaan, pelepasan asap cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka,” katanya menerusi kenyataan.

Mengikut Infografik Kementerian Alam Sekitar dan Air, aliran bacaan bahan cemar udara di tiga stesen mencerap di Lembah Klang menunjukkan penurunan ketara dari 18 Mac hingga 14 April.

Berdasarkan infografik itu paras bacaan sulfur dioksida (SO2) menurun 27 peratus, nitrogen dioksida (NO2) turun 70 peratus, karbon monoksida (CO2) turun 49 peratus dan paras habuk halus bersaiz bawah 2.5 mikron (PM2.5) turun 29 peratus.

Aliran bacaan bahan cemar udara di bandar utama lain pula menunjukkan SO2 menurun 40 peratus, NO2 turun 61 peratus, CO2 turun 31 peratus dan parameter bagi PM2.5 turun 26 peratus.

Menurut kementerian itu, bagi mengekalkan tahap kualiti udara, orang ramai dilarang melakukan pembakaran terbuka serta membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau tidak sengaja.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kualiti air sungai di 29 stesen pengawasan kualiti air automatik menunjukkan lapan stesen bertambah baik, lapan stesen perubahan tidak ketara dan 13 lagi mencatatkan penurunan.

“Ia disebabkan beberapa faktor, antaranya cuaca, pencemaran daripada kumbahan dan sistem pembetungan,” katanya.


Pengarang :