Kakitangan Kementerian Kesihatan memantau saringan suhu badan yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Kuarantin: Pulang luar negara, lapan lokasi disedia di Selangor

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak lapan lokasi di negeri ini dijadikan pusat kuarantin untuk individu yang pulang dari luar negara termasuk tiga hotel, kata ketua jabatan integriti dan pematuhan standard polis Selangor.

Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata lokasi berkenaan ialah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi; Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan, Bangi; Pusat Akademik Bomba, Kuala Kubu Bharu dan Madrasah Al-Nabawiyah, Kajang.

“Hotel Fox Lite D’Pulze Cyberjaya, Hotel Qliq Damansara dan Hotel Sunway Clio turut dijadikan pusat kuarantin,” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Selangor semalam.

Mohd Ismail yang juga jurucakap Op Covid-19 Selangor berkata sejak kelmarin seramai 743 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dikuarantin di pusat berkenaan.

Bermula Jumaat lalu, kerajaan menetapkan individu yang pulang dari luar negara wajib dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin bagi mengekang penularan wabak Covid-19.


Pengarang :