AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kuis sedia van, bas hantar 40 pelajar pulang

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) akan menghantar pulang 40 pelajarnya secara berperingkat mulai hari ini, kata rektornya.

Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata bas atau van Kuis akan digunakan menghantar semua penuntut sampai ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, hanya pelajar yang tinggal di kawasan zon hijau dibenarkan pulang manakala mereka yang tinggal di zon merah dan jingga belum lagi diberi kebenaran pulang.

“Justeru, saya mohon supaya mereka yang belum boleh pulang jangan bersedih kerana Kuis masih menjaga kebajikan anda semua,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Ab Halim berkata mengikut maklumat Pusat Hal Ehwal Mahasiswa Kuis, selepas 40 pelajar mulai dihantar pulang hari ini, baki penuntut masih berada di asrama 130 orang.

“Kepada mahasiswa dan mahasiswi yang sudah pulang ke kampung, saya minta anda terus jaga kesihatan dan keselamatan diri, terus amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Pada 24 April lalu, kerajaan mengumumkan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus dibenarkan pulang bermula 27 April.

Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat dengan hanya melibatkan perjalanan pelajar yang berada dalam kawasan zon hijau.

Sebelum pulang, pelajar akan menjalani saringan gejala Covid-19. Kepulangan mereka adalah percuma selain dibekalkan makanan serta penutup mulut dan hidung.


Pengarang :