BUDAYARENCANA

Kuncitara

Oleh Saiful Ghazali

 

PANAS. Sempit lagi merimaskan. Bagaikan haiwan dalam zoo yang terperosok di dalamnya. Menjerit dan memekik bagai kera kena belacan. Adik-beradik serupa iblis. Aku menyampah, aku meluat. Berapa lama lagi perlu aku tempuhi azab dari pemerintah ini?

Dengan muka Marwan yang bagaikan mawas itu, perangainya juga saling tak tumpah sepertinya. Terkinja-kinja dalam rumah flat yang sempit ini. Menyeksakan dan merimaskan. Mahu sahaja aku terajang belakang adik bongsuku itu kuat-kuat. Biar mukanya tersembam atas lantai. Biar giginya terpokah tiga atau empat batang. Jenis tidak faham bahasa.

Jannah walau tidak buas tetap menjengkelkan. Terbongkang di hadapan televisyen sehari suntuk. Bukannya ditonton. Kerjanya menatal telefon dari celik mata sehingga pejam. Langsung tidak berguna. Teman lelaki dua-tiga orang. Aku pun sudah tidak kenal dengan siapa dia berkawan. Asyik bertukar tangan seperti bulu tangkis badminton. Jenis tidak setia.

Aku masih menimbang-nimbang untuk keluar. Sudah tidak tahan. Duduk di dalam rumah ibarat sangkar ini amat merimaskan. Sesak. Bising dan busuk. Jiran tetangga sudah tidak segan-silu. Memaki hamun anak-beranak dengan pekikan yang bingit. Kata-kata kesat menjadi amalan zikir harian. Hari-hari mencarut di mulut. Sehingga mustajab menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan. Agaknya semua orang di dalam flat ini sudah terdidik dengan persekitaran yang rancu.

Mati? Sudah dua-tiga orang budak-budak yang tinggal di flat ini mati. Jatuh tersepuk dari tingkat yang tinggi apabila besi pengadang yang sudah berkarat dan reput, patah. Penyakit akibat kawasan pembuangan sampah yang dipenuhi tikus dengan bahan buangan yang busuk lagi membusung ulat-temulatnya. Lagi mahu kurung kami di dalam flat ini? Aku tidak faham. Ini mustahil bagi aku.

Emak. Emak sahaja yang aku fikirkan sekarang ini. Dia sungguh-sungguh melarang aku keluar rumah. Dia bantah aku keluar merayau macam selalu. Emak tidak mahu aku mati akibat wabak yang melanda. Emak bimbang kalau aku dijangkiti lalu dimasukkan ke hospital dan kami tidak lagi dapat bertemu. Emak kata kalau aku mati disebabkan wabak, aku akan ditanam tanpa boleh dihadiri ahli keluarga terdekat. Emak sayangkan aku. Dan aku juga sayangkan Emak.

Tetapi, siapa boleh tahan dengan rumah yang sempit sebegini? Hanya Emak yang sanggup terperuk di rumah. Mungkin inilah masanya Emak berehat sekejap. Sebelum ini, aku susah hendak nampak Emak berehat. Emak bekerja di kilang sarung tangan. Aku dengar cerita, Emak bekerja di kilang itu sejak dia masih anak dara. Habis sahaja SRP, Emak tidak toleh ke belakang dan terus menjadi ‘minah kilang’ sehingga kini. Kemudian berkenalan dengan Ayah. Seorang warga Indonesia. Ayah mati jatuh bangunan sewaktu bekerja sebagai buruh binaan.

Aku dalam dilema. Hendak keluar bebas atau terperangkap di dalam flat yang menyesakkan ini? Perintah siapa hendak aku ikut? Emak, pemerintah atau kata hatiku sendiri? Jika mengikut pandangan Emak, dia mahu aku tinggal sahaja di rumah. Emak sayangkan aku. Dan aku juga sayangkan Emak. Pemerintah mengeluarkan arahan kawalan pergerakan selama dua minggu sebelum dilanjutkan dua minggu lagi. Hari ini baru hari kelima. Marwan bagai kera kena belacan. Jannah pula macam badak kemalasan. Jiran-jiran seperti puaka, tidak sudah-sudah mencarut.

Jika menurut kata hatiku, aku mahu keluar. Keluar dari persekitaran yang merancu fikiran. Aku mahu bertemu rakan-rakan. Aku mahu lepak bersama-sama mereka dan balik lewat malam. Dapatlah aku mengelak daripada Marwan dan Jannah. Dapatlah aku hindari maki hamun jiran-jiran. Esoknya akan aku keluar semula lalu bertemu rakan-rakan dan balik lewat malam lagi. Sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

Praaanggg! Bunyi seperti gelas pecah di luar bilik. Aku lantas keluar. Aku nampak Marwan menundukkan mukanya. Televisyen jatuh dan kacanya pecah. Sebiji bola bergolek tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku memahami apa yang sedang berlaku. Marwan Si Kera bermain bola di dalam rumah. Aku tidak membuang masa. Aku hanya mengambil beberapa langkah lalu aku terajang belakang Marwan sekuat hati. Marwan terjatuh dan mukanya tersembam di atas lantai. Giginya aku lihat patah tiga batang. Darah dari gusi Marwan bercucuran keluar dari mulutnya. Jannah yang terbongkang di atas sofa cabuk bangun terpinga-pinga. Emak yang sedang memasak di dapur segera datang. Emak terkejut melihat Marwan parah. Aku puas.

“Engkau keluar sekarang!” bentak Emak. Perintah Emak kali ini aku patuhi. Itu perintah Emak dan aku sayang akan Emak.

Aku menelefon sahabatku untuk mengetahui keberadaannya. Katanya mereka sedang berkumpul di sebuah bengkel motosikal yang terletak di Hulu Langat. Aku tidak membuang masa. Terus aku dapatkan motosikalku dan menunggangnya ke sana. Aku berasa lapang. Sepanjang jalan yang aku lalui tidak terlalu banyak kenderaan. Laluan lengang. Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi rakyat. Tetapi aku mematuhi perintah Emak. Emak telah memerintahkan aku keluar rumah. Marwan lebih disayangi Emak. Tetapi aku tetap menyayangi Emak.

Tidak lama kemudian aku sampai di bengkel yang rakanku maksudkan. Mereka berkumpul beramai-ramai. Rupanya bengkel itu menjadi tempat lepak baharu sementara menunggu Perintah Kawalan Pergerakan tamat. Rata-ratanya aku kenali. Mereka sahabatku. Tetapi ada seorang gadis yang tidak aku kenali. Rupanya lawa. Badannya bulat dan aku mahu berkenalan dengannya. Aku terpesona. Lantas aku pergi mendapatkannya.

“Namamu siapa?”

Dia tidak menjawab. Sebaliknya mulutnya ditekup kedua-dua tangan untuk menutup bersinnya yang datang tiba-tiba.

“Maaf,” katanya, tersenyum, menyedari kekagetanku dengan bersin diikuti batuk kuatnya selepas itu.

Aku membalas senyumannya dan menghulurkan salam. Dia menyambut lalu kami berjabat. Aku mencium tangannya. Dia hanya merelakan.

 

 


Pengarang :