Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 20 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laman sesawang untuk peniaga mohon bantuan – Amirudin

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengumumkan laman sesawang khusus bagi membolehkan penjaja dan peniaga memohon bantuan RM500 seperti diumumkan dalam fasa pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin selewatnya 8 April ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini terdapat 80,000 peniaga di Selangor berdasarkan rekod pendaftaran lesen di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 51,000 daripadanya aktif berniaga termasuk di pasar malam.

“Kita akan umumkan laman web itu dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan peniaga sahaja. Jika ada dalam senarai PBT akan menghubungi mereka untuk mendapatkan nombor akaun untuk kita masukan wang terus.

“Saya minta hal ini dipercepatkan supaya penjaja dan peniaga dapat dibantu. Jika ada yang tertinggal mereka boleh mengisi borang di laman web berkenaan dan diproses untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika diwawancara menerusi program Cendol Pak Ya, hari ini.

Beliau berkata fasa pertama pakej rangsangan diumumkan Kerajaan Negeri pada 20 Mac lebih menumpukan aspek penyelesaian masalah harian kumpulan yang hilang sumber pendapatan seperti peniaga susulan penularan Covid-19 bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan.

Semalam Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bernilai RM272.5 juta bagi mengurangkan impak Covid-19 susulan pengumuman fasa pertama berjumlah RM127.8 juta.


Pengarang :