Tiub ujian dengan label nama virus Corona dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Lebih 1.9 juta penduduk dunia kini dijangkiti Covid-19

ANKARA, 14 APRIL: Kes jangkitan Covid-19 global sudah melepasi 1.9 juta pada Isnin dengan angka korban mencecah 118,459 orang manakala pesakit yang sembuh seramai 446,002, lapor agensi berita Anadolu memetik Johns Hopkins University.

Dengan sejumlah 1,904,566 kes direkodkan di seluruh dunia, setengah juta jangkitan dicatatkan di Amerika Syarikat (AS) – lebih 572,000 kes.

AS juga mencatatkan jumlah korban teramai melebihi 23,000 orang selain menjadi pusat penularan wabak baharu, disusuli Itali dengan 20,465 kematian.

Sepanyol pula negara kedua melaporkan kes tertinggi, 169,496. Sementara China, dengan 3,345 kematian dan lebih 83,200 kes.

Baru-baru ini, menurut data Hopkins, kematian setiap hari di China kekal pada nombor tunggal dan lebih 78,000 pesakit sembuh.

Virus kini merebak ke 185 negara sejak pertama kali muncul di China pada Disember.

– BERNAMA


Pengarang :