Rakaman gambar siluet petugas kesihatan Selcare membuat ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lepasi sasaran, 5,400 sertai Saringan Komuniti

SHAH ALAM, 24 APRIL: Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan penularan Covid-19 di zon merah berjaya melepasi sasaran apabila 5,400 individu mengikuti ujian berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.

“Sambutan dan kerjasama yang baik daripada rakyat sepanjang Saringan Komuniti ini, kita berjaya malah melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, laporan penuh berhubung Saringan Komuniti akan dikeluarkan dalam bentuk kenyataan pada Ahad ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas mesyuarat berhubung perkembangan Covid-19 di bangunan SUK hari ini.

Ditanya sama ada program saringan berskala besar itu akan diteruskan. Amirudin berkata ia hanya akan diputuskan selepas mendapat pandangan mufti Selangor.

“Ini kerana ujian yang dilakukan melibatkan proses pengambilan calitan menerusi rongga (mulut dan hidung). Jadi kita cuba dapatkan pandangan mufti Selangor berhubung perkara ini.

“Kita juga masih menunggu tempahan 5,000 kit ujian daripada Korea sampai,” katanya.

Lebih 5,000 orang menyertai program Saringan Komuniti kendalian Selcare Clinic Sdn Bhd sepanjang tempoh hampir dua minggu sejak ia dilancarkan pada 11 April lalu.

Saringan yang dijalankan di Gombak dan Hulu Selangor pada 22 April menyaksikan penyertaan lebih 1,200 orang. Program di dua daerah itu berlangsung selama dua hari.

Sementara itu di Klang dan Petaling pula, lebih 1,800 orang berjaya disaring sepanjang dua hari yang berakhir 19 April lalu.

Sebelum itu, saringan awal yang dijalankan di Hulu Langat membabitkan 649 individu sepanjang dua hari berakhir 12 April.


Pengarang :