Orang ramai mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika membeli barangan keperluan harian di Pasar Kajang pada 19 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEKONOMI

Lokasi Pasar Agro Selangor ditambah, penuhi keperluan rakyat

SHAH ALAM, 10 APRIL: Lokasi Pasar Agro Selangor ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan rakyat yang dijangka meningkat menjelang Ramadan, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata antara lokasi dicadangkan ialah Ampang dan Sungai Buloh kerana kawasan itu memiliki jumlah penduduk yang padat namun tiada lagi kemudahan berkenaan.

“Saya akan bermesyuarat dengan agensi berkaitan sehari dua ini untuk berbincang mengenai persiapan Ramadan yang mana kita akan memastikan Pasar Agro Selangor ditambah.

“Walaupun kemungkinan umat Islam menyambut Ramadan ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita faham orang ramai akan buat persiapan dengan membeli barangan basah dan keperluan lain,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ini Pasar Agro Selangor beroperasi di sembilan lokasi iaitu Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.

Sementara itu, Ir Izham berkata pihaknya mencari jalan bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan bawang import di pasaran negeri ini.

“Secara umumnya bekalan barang basah, sayuran dan buah-buahan tiada masalah kerana sistem rantaian bekalan cukup tersusun, cuma ada sedikit isu berkaitan bawang import, ini kita akan cuba selesaikan,” katanya.


Pengarang :