AGENSISELANGOR

LUAS arah pemilik kolam ikan hentikan pam air

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengarahkan pemilik kolam ternakan ikan yang mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Selangor semalam supaya menghentikan aktiviti pengepaman air.

LUAS berkata bagi memastikan insiden tidak berulang, pihaknya juga memohon orang ramai memaklumkan kepada pihak berkuasa jika kegiatan sama terus dilakukan.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar masalah tersebut dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

“Pemeliharaan dan pemulihan sumber air adalah tanggungjawab bersama. Keprihatinan dan kerjasama semua pihak amat diharapkan.”

Semalam Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran berlaku pencemaran bau.

Pencemaran berpunca daripada kerja pengepaman air kolam ikan yang dirobohkan pada 20 April lalu.

EXCO alam sekitar, Hee Loy Sian Loji pula berkata, LPA Rantau Panjang dihenti tugas hampir tiga jam berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan berlaku pertembungan antara air Sungai Selangor dengan aliran air kolam ikan.

“Bacaan kekeruhan air naik tinggi daripada kebiasaan hingga menimbulkan bau seperti lumpur,” kata beliau.


Pengarang :