AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS: Bayar zakat fitrah di masjid, surau jika tidak mahir teknologi

SHAH ALAM, 27 April: Pembayaran zakat fitrah melalui Penolong Amil Fitrah (PAF) di masjid dan surau dilaksanakan bagi membolehkan golongan kurang mahir teknologi menunaikan kewajipan itu sepanjang Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaras hasrat baginda untuk memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas.

Katanya, bagaimanapun kaedahnya tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain mendapat pandangan Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan polis.

“Kita juga menggariskan panduan dan syarat kepada PAF yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa PKP, antaranya berumur 60 tahun ke bawah, sihat serta tiada penyakit kronik dan gejala demam ketika bertugas.

“Mereka dan pengeluar zakat dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

LZS berkata, pembayar zakat juga digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah urusan selesai bersama PAF yang beroperasi dari jam 9 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang.

Agensi itu sebelum ini mengumumkan bayaran zakat fitrah secara dalam talian sepanjang PKP menerusi laman EZakatPay atau perbankan internet di sembilan bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.


Pengarang :