AGENSISELANGOR

LZS: Jumlah asnaf dijangka meningkat 10,000 kesan PKP

SHAH ALAM, 20 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan peningkatan  kira-kira 10,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf hingga hujung tahun ini akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya menjangkakan seramai 70,000 golongan berkenaan akan berdaftar tahun ini namun angka itu dijangka bertambah susulan ramai yang hilang punca pendapatan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengkaji bantuan yang akan disediakan kepada golongan itu bagi memaksimumkan penerima dengan kutipan zakat.

“Kita sedang mengkaji cara membantu mereka yang terkesan ini agar semua memperoleh manfaat dari LZS,” katanya dalam sidang media khas Facebook LZS hari ini.

Mengulas mengenai agihan Ramadan kepada golongan terbabit, Saipolyazan berkata sebanyak RM27.6 juta diagihkan kepada 60,312 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelasnya daripada jumlah itu RM19.1 juta diagihkan kepada 41,240 keluarga miskin, RM7.2 juta untuk 14,922 keluarga fakir dan RM1.3 juta bagi 4,150 keluarga mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat mulai Mei ini dan kadar diterima antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan,” katanya.

Wang zakat itu disalurkan menerusi pembayaran dikreditkan terus ke akaun asnaf atau kaedah V-Cash (Baucar Tunai) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di cawangan Bank Islam.

Selain itu, kaedah tunai juga dilakukan tetapi hanya bagi kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar atau akaun bank bermasalah.


Pengarang :