AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS: Lebih 7,000 bayar zakat dalam talian

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kaedah pembayaran zakat secara dalam talian di Selangor ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan lebih 7,000 pembayar dalam tempoh empat hari Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata ia membabitkan kutipan lebih RM900,000 bagi pembayaran zakat fitrah dan zakat harta yang dibuat melalui EZakatPay di laman sesawang http://fpx.zakatselangor.com.my

“Masyarakat Islam bukan sahaja boleh menunaikan zakat fitrah melalui saluran pembayaran dalam talian, tetapi juga zakat harta sepanjang Ramadan.

“Ramai mengambil peluang melaksanakan tanggungjawab berzakat pada Ramadan terutama mereka yang cukup syarat wajib zakat selain menunaikan zakat fitrah,” katanya kepada SelangorKini.

Antara medium pembayaran zakat fitrah dan harta yang lain termasuk perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.

Selain itu, pembayaran boleh dilakukan di Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

Tahun ini, kadar zakat fitrah di Selangor kekal seperti tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM7 seorang selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Kadar itu ditetapkan berdasarkan harga semasa beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya diguna oleh masyarakat di negeri ini.


Pengarang :