Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah terus operasi walau terhad ketika PKP

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Mahkamah akan terus beroperasi tetapi dalam ruang lingkup yang lebih terhad untuk memastikan akses berterusan kepada sistem keadilan, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam kenyataannya, beliau berkata Badan Kehakiman Malaysia akan menyesuaikan dengan keadaan itu agar proses dan perkhidmatannya tetap berjalan walaupun dilanda pandemik itu.

“Tidak realistik dan mustahil bagi mahkamah untuk beroperasi seperti biasa semasa penularan pandemik Covid-19,” kata hakim tertinggi badan kehakiman itu.

Tengku Maimun berkata sekiranya dilaksanakan ia berisiko mendatangkan bahaya kesihatan dan keselamatan para hakim, peguam serta litigan dan petugas mahkamah.

Beliau berkata tiga surat pentadbiran telah dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pendaftar kepada pihak berkepentingan yang relevan pada 17 dan 23 Mac serta 10 April untuk mengatur pentadbiran keadilan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tengku Maimun berkata keutamaan adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berkaitan fungsi pengadilan untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada penjara dan polis, yang kedua-duanya disenaraikan sebagai perkhidmatan penting di bawah peraturan itu.

Beliau berkata dalam tempoh pelaksanaan PKP terutama berkaitan hal-hal jenayah, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.

Katanya, permohonan reman juga dilakukan di balai polis.

Tengku Maimun berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah akan terus mendengar kes-kes mendesak walaupun tidak perlu berbuat demikian di bawah peraturan tersebut.

“Mahkamah juga terus menjalankan pengurusan kes melalui e-mel, e-Review dan mendengar perbicaraan secara dalam talian. Mekanisme e-filing yang telah berjalan selama hampir satu dekad, yang membolehkan pemfailan dokumen dan kertas kausa, terus beroperasi seperti biasa bagi kes sivil dan jenayah,” katanya.

Beliau juga berkata dokumen yang difailkan melalui sistem itu diproses seperti biasa semasa tempoh PKP.

Tengku Maimun berkata hakim dan pegawai kehakiman bertugas dari rumah dan mereka dapat dihubungi sepanjang masa untuk memastikan kes-kes yang memerlukan perhatian segera, ditangani dengan cepat.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa mahkamah dilengkapi dengan peralatan pendengaran dalam talian terkini dan badan kehakiman itu bersedia menjalankan dan sebenarnya sudahpun menjalankan pendengaran dalam talian bagi kes sivil dengan persetujuan pihak-pihak terlibat.

Beliau berkata Badan Kehakiman itu juga telah mengambil langkah untuk meminda undang-undang berkaitan seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi pelaksanaan pendengaran kes secara dalam talian.

Tengku Maimun mengeluarkan kenyataan media itu bagi membetulkan kenyataan dalam artikel yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 17 April yang menyatakan bahawa mahkamah tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata berdasarkan statistik mahkamah semasa tempoh pelaksanaan PKP menunjukkan terdapat 376 pengurusan kes yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan melalui e-Review manakala 25 kes dijalankan melalui e-mel.

Tengku Maimun juga berkata terdapat 18 kes perbicaraan sivil melalui sidang video di Mahkamah Tinggi dan 12 kes melibatkan notis perakuan segera melalui sidang video.

“Langkah-langkah khusus yang diambil Badan Kehakiman Malaysia jelas menunjukkan bahawa ia kekal komited untuk kemajuan teknologi moden,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :