Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua kanan) menyerahkan kurma kepada salah seorang pegawai Lembaga Zakat Selangor ketika mengadakan kunjungan di asrama anak yatim pada 29 April 2020. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais hargai petugas LZS, sumbang set makanan ringan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam menyumbang 150 set makanan ringan kepada petugas hadapan institusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menguruskan penghuni di beberapa asrama dan penempatan kedua-dua agensi berkenaan.

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan kurma, air kotak dan roti diagihkan kepada petugas serta penghuni di Baitul Hasanah (asrama anak asnaf fakir miskin), Baitus Salam (rumah perlindungan muallaf) dan Bait al-Mawaddah (penempatan warga emas).

“Program ini bagi memberikan motivasi dan sokongan terhadap komitmen mereka yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika ada yang berada di rumah, namun mereka sebagai barisan hadapan terus bertugas demi agama, bangsa dan negara serta sebagai tanggungjawab kepada Mais dan LZS,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Institusi LZS Md Yusmizan Yusuf merakamkan terima kasih atas kunjungan Mais dan menghargai sumbangan yang diberikan.


Pengarang :