Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia kekal status sifar malaria sejak 2018

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Malaysia berjaya mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak tahun 2018, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kejayaan untuk kekal sifar sejak 2018 perlu diteruskan selama tiga tahun berturut-turut bagi melayakkan Malaysia mendapatkan Pensijilan Eliminasi Malaria manusia jangkitan tempatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2021.

Walaupun Malaysia mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak 2018, malaria zoonotik yang berpunca daripada monyet dan kes malaria import dari negara luar masih dilaporkan di negara ini.

“Pada 2019, sebanyak 3,941 kes malaria daripada pelbagai punca dilaporkan, dan daripada jumlah itu, 3,223 (81.8 peratus) kes adalah malaria zoonotik, 620 (15.7 peratus) kes adalah malaria import dan 98 (2.5 peratus) kes adalah daripada lain-lain punca jangkitan.

“Pada tahun yang sama, enam kematian dilaporkan dengan kesemuanya melibatkan jangkitan kes malaria zoonotik daripada spesis Plasmodium Knowlesi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan Hari Malaria Sedunia disambut setiap tahun pada 25 April di seluruh dunia bagi menyatakan komitmen berterusan untuk pencegahan dan kawalan penyakit malaria, manakala pada tahun ini, WHO menetapkan tema sambutan adalah ‘Sifar Malaria Bermula Dari Kita’.

Meskipun negara kini berdepan dengan pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) tetap mengambil langkah yang perlu terhadap penyakit berjangkit lain, termasuk malaria agar kejayaan dicapai oleh Malaysia sejak 2018 itu akan dapat dikekalkan.

“Inovasi pencegahan malaria semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diwujudkan melalui modifikasi tindakan kritikal di lapangan dengan tujuan pencegahan jangkitan malaria di komuniti dan pada masa yang sama bagi memastikan anggota kesihatan sentiasa terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Dalam hal ini, KKM mengutamakan semua kes dan wabak untuk diambil tindakan segera. Modifikasi kaedah kawalan vektor (nyamuk pembawa malaria) juga dilaksana dengan mengedarkan kelambu berubat dari rumah ke rumah bagi mengelak perhimpunan dalam komuniti dan mengekalkan jarak sosial,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata KKM juga memastikan bekalan peralatan untuk diagnosis dan ubat-ubatan malaria tidak terjejas, manakala saringan malaria dalam kalangan kumpulan berisiko juga masih diteruskan.

Sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia 2020, Dr Noor Hisham memaklumkan KKM berharap penglibatan komuniti dan agensi lain dalam pencegahan penyakit malaria dapat dipertingkatkan dan komuniti dinasihatkan supaya melaksanakan tindakan seperti berikut:

Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti:

* Memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk.

* Elakkan berada di luar rumah pada waktu malam.

* Syarikat perladangan perlu memastikan pekerja mereka sentiasa dilindungi daripada gigitan nyamuk dengan membekalkan kelambu berubat dan melaksanakan aktiviti pencegahan malaria yang lain seperti semburan racun residual.

* Penduduk perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan.

– BERNAMA


Pengarang :