Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia terlibat kaji selidik solidariti WHO rawat Covid-19

SHAH ALAM, 6 APR: Malaysia menyertai kaji selidik solidariti dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat berpotensi bagi merawat Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyegerakan proses pelaksanaannya yang bermula tidak lama lagi dan memberi jaminan ia akan mematuhi semua piawaian keselamatan ditetapkan Bahagaian Regulatori Negara (NPRA).

“Kaji selidik diselaraskan WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelidikan ini akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang Dr Chow Ting Soo dengan pasukan 16 pakar perubatan dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital masing-masing.

Sembilan hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.


Pengarang :