SELANGOR

Masak di rumah pilihan hari pertama Ramadan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ibadah puasa kali pertama dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata mengubah aktiviti keluarga yang memilih untuk memasak juadah berbuka berbanding membeli di luar.

Walaupun dengan hidangan ringkas, ia lebih bermakna apabila dapat menikmatinya bersama insan tersayang sekali gus dapat melupakan seketika hiruk pikuk apabila berbelanja di bazar Ramadan.

Nur Lela Zulkipli, 31, berkata beliau dan keluarga memilih juadah ringkas seperti sambal ayam, kobis masak lemak dan begedil untuk berbuka hari pertama Ramadan.

“Walaupun rindukan suasana membeli di bazar Ramadan tapi sekurang-kurangnya dapat mengelak pembaziran. Jiran turut memberikan beberapa jenis kuih untuk hidangan tambahan,” katanya kepada SelangorKini.

Pandangan sama dikongsikan Nur Jannah Rezza, 30, yang memilih menu kari ayam dan sayur campur serta air oren untuk juadah berbuka hari ini.

“Dengan memasak sendiri, kebersihan hidangan dapat dijaga selain mengurangkan perbelanjaan juadah di bazar Ramadan,” katanya.

Sementara itu bagi pelajar, Nurfilzah Izzani Yamaludin, 22, beliau bersama seorang lagi rakan memilih rendang ayam sebagai menu berbuka yang dapat menjimatkan perbelanjaan.

“Tidak dinafikan ketika ini rasa rindu hadir untuk berbuka dengan keluarga seperti tahun sebelumnnya tetapi dalam tempoh PKP yang menghadkan pergerakan kami demi memutuskan rantaian Covid-19, saya dan rakan serumah lebih selesa memasak sendiri berbanding membeli di luar,” katanya.


Pengarang :