Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

MB: 52 peratus pengguna sudah terima bekalan air

SHAH ALAM, 17 APRIL: Sebanyak 52 peratus pengguna yang terputus bekalan air ekoran henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) semalam telah pulih sehingga jam 6 petang tadi, kata Dato Menteri Besar.

“Pemulihan masih lagi berperingkat dan meningkat setiap jam. Usaha menggerakkan tangki air juga telah dibuat ke kawasan kritikal,” tulis beliau di Twitter malam ini.

Malam tadi LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas bermula jam 11 malam berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som dilaporkan berkata kesemua LRA berkenaan sudah beroperasi semula mulai jam 6 pagi tadi.

Dalam sidang media hari ini, Amirudin Shari memaklumkan pencemaran itu berpunca dari kolam ternakan ikan dan seorang pekerja kolam telah ditahan ketika serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.

Senarai lengkap kawasan terjejas boleh dirujuk di Facebook Air Selangor.


Pengarang :