AGENDANASIONAL

MB: Bas Smart Selangor bawa penumpang ke pusat kuarantin

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri sedia memberikan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk membawa penumpang yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin mengikut tatacara piawai ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbezaan di semua peringkat harus diketepikan buat masa ini untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19.

“Sebab itu dari awal saya sebutkan kesediaan bekerjasama erat dengan kementerian (kesihatan) dan Kerajan Pusat untuk menangani isu ini apatah lagi Selangor adalah pintu masuk utama di dalam negara kita,” katanya ketika wawancara dalam program Agenda Awani, semalam.

Kerajaan sebelum ini memutuskan semua penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Lapangan Terbang Subang menjalani kuarantin di tempat khas selama 14 hari bagi mengekang penularan wabak sebelum dibenarkan pulang.

Setakat ini Malaysia merekodkan 49 kematian dengan 2,908 kes positif dan 645 kes discaj daripada wad.


Pengarang :