Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Keramat pada 11, April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB bersyukur 71 peratus pesakit Covid-19 di Selangor sembuh

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sebanyak 71 peratus kes positif Covid-19 di Selangor sembuh, kata Dato’ Menteri Besar.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua petugas perubatan yang bertungkus-lumus dalam menangani wabak tersebut.

“Kita menerima khabar baik sebanyak 71 peratus kes positif Covid-19 di Selangor telah sembuh. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua petugas perubatan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 1,343 kes terkumpul Covid-19 direkodkan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 958 kes sembuh, 12 kematian serta tiga kes baharu dicatatkan, menjadikan keseluruhan kes masih aktif ialah 373.

Kerajaan Selangor sejak 11 April lalu mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19, antara lain untuk mengesan jangkitan Covid-19 tanpa simptom di negeri ini.


Pengarang :