Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB bersyukur lebih 70 peratus pesakit Covid-19 di Selangor pulih

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kira-kira 73.25 peratus daripada jumlah 1,118 kes Covid-19 yang dicatatkan di Selangor sudah sembuh, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan rasa syukur ketika memaklumkan 819 orang sudah berjaya dirawat daripada wabak berkenaan setakat semalam.

“Alhamdulillah hari ini saya dimaklumkan sebanyak 819 kes Covid-19 telah pulih daripada 1,118 kes yang dicatatkan di Selangor,” katanya menerusi Twitter malam ini.

Turut menyertakan grafik angka tersebut, beliau berterima kasih kepada petugas perubatan yang bertungkus-lumus memberi rawatan.

“Kita doakan semoga bilangan kes pulih meningkat,” katanya lagi.

Setakat tengah hari semalam, enam daerah di negeri ini dikategorikan sebagai zon merah, dengan Hulu Langat mencatatkan jumlah tertinggi (366 kes) dan Petaling (314).

Klang merekodkan 152 kes, diikuti Gombak (121), Sepang (59) dan terbaharu Hulu Selangor (43).

Lapan pesakit meninggal dunia, empat di Petaling, Klang (dua), masing-masing satu Hulu Langat dan Gombak.

Mengikut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah kes harian menurun sedikit kepada 30 kes berbanding 40 kes semalam.

Jumlah keseluruhan kes di negeri ini, setakat jam 12 tengah hari tadi, ialah 1,148 orang manakala 4,346 bagi seluruh negara.

Daripada jumlah ini, 1,830 orang sudah sembuh dan 2,446 lagi sedang dirawat di Malaysia. Setakat ini, 70 orang meninggal dunia.

 


Pengarang :