Bas Smart Selangor membawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ke pusat kuarantin yang disediakan. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB: Dua puluh Bas Smart Selangor bawa penumpang ke pusat kuarantin

SHAH ALAM, 6 APRIL: Sebanyak 20 buah Bas Smart Selangor digunakan untuk membawa rakyat Malaysia yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin di seluruh negeri.

Melalui hantaran di Twitter, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos penyelenggaraan dan operasi bas ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Setakat hari ini, sebanyak 20 buah bas Smart Selangor beroperasi setiap hari membawa rakyat Malaysia yang tiba di lapangan terbang utama ke 14 pusat kuarantin di Selangor,” tulisnya malam ini.

Pada 3 April lalu, Bas Smart Selangor memulakan misi membawa rakyat Malaysia yang tiba dari Chennai, India ke pusat kuarantin.

Kerajaan sebelum ini memutuskan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Lapangan Terbang Subang perlu menjalani kuarantin di tempat khas selama 14 hari bagi mengekang penularan Covid-19 sebelum dibenarkan pulang.

Pusat kuarantin di Selangor antaranya Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, Institut Latihan Islam Malaysia Bangi, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan Bangi, Pusat Akademik Bomba Kuala Kubu Bharu, Hotel Fox Lite D’Pulze Cyberjaya, Hotel Qliq Damansara dan Hotel Sunway Clio.


Pengarang :