Kelihatan seorang penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: E-bazar Ramadan pastikan kitaran ekonomi berterusan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Usaha Selangor mewujudkan e-bazar Ramadan secara dalam talian adalah bagi memastikan kitaran ekonomi di negeri ini boleh diteruskan sepanjang tempoh membenteras Covid-19, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata industri mikro merupakan sendi penting ekonomi negeri dan pihaknya akan mengumumkan penjaja yang layak menyertai e-bazar Ramadan selewatnya esok selepas semua pendaftaran menerusi Hijrah Selangor disemak.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media sumbangan kutipan derma dari Program Selangor Cyber Games bagi Tabung Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 17 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita telah memilih 10 lokasi dewan dan juga 67 restoran yang akan bergerak secara minimum di bulan Ramadan. Kawasan yang menjadi tempat makan pelanggan sebelum ini akan bertindak sebagai tempat menghantar dan mengambil makanan.

“Kita akan memperkenalkan pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari. Dengan ini peniaga akan mempunyai jumlah anggaran tempahan dan ini sedikit sebanyak mengurangkan pembaziran dan memastikan ia dapat dijual mengikut keperluan,” kata beliau ketika di wawancara TV Al-Hijrah hari ini.

Beliau berkata peniaga yang layak turut berpeluang memohon pinjaman tanpa faedah berjumlah RM3,000 hingga RM5,000 menerusi Hijrah Selangor dan pembayaran boleh dibuat dalam tempoh dua bulan atau selepas wabak berakhir.

Amirudin berkata pihaknya juga akan memastikan penghantar makanan bebas daripada aktiviti tidak sepatutnya selain memperuntukkan RM600,000 bagi proses nyahkuman di semua lokasi pengumpulan.

Pada 18 April lalu Amirudin mengumumkan dua saluran e-dagang khas sempena Ramadan iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) manakala juadah akan dihantar oleh syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.


Pengarang :