Pasangan pengantin yang menyertai Majlis Pernikahan Perdana di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak pada 1 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Garis panduan nikah diumum selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 17 APRIL: Garis panduan nikah akan diumumkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlarutan hingga sambutan Aidilfitri, kata Dato’ Menteri Besar.

Namun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri setakat ini kekal dengan keputusan menangguhkan urusan berkenaan selagi PKP berkuat kuasa.

“Kita tidak mahu hari bahagia seseorang itu jadi macam hari biasa. Ramadan ini pun kita rasa tak akan ada orang bernikah.

“Kita akan umum kaedah tertentu ini lepas Aidilfitri. Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan Sultan Selangor,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin berkata pasangan yang tetap mahu meneruskan pernikahan perlu merujuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk dinilai jika ada alasan munasabah.

“Sebelum ini, kita letakkan kawalan untuk majlis pernikahan namun orang tidak ikut. Dari pengalaman kita, majlis pernikahan di Hulu Langat menjadi kluster Covid-19 selepas dihadiri jemaah tabligh,” katanya.

Sebanyak 1,062 permohonan nikah terpaksa ditangguh mulai 20 Mac lalu, dua hari selepas PKP fasa pertama dilaksanakan.

Langkah itu berikutan beberapa jurunikah dikuarantin selepas mereka dikesan ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19.


Pengarang :