Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

MB: Isu banjir kilat di Batu Caves akan diselesaikan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengambil langkah segera bagi membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda sekitar Batu Caves, kata Dato’ Menteri Besar.

“Beberapa tindakan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelakkan banjir berulang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

“Perbincangan bersama Exco Infrastruktur (Ir Izham Hashim), Pengarah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Selangor (Datuk Gapar Hasan), Jurutera Daerah, Ahli Majlis @MPSelayang serta Setiausaha Politik Kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Tua mengenai isu banjir di Batu Caves,” tulisnya.

Semalam beberapa lokasi di negeri ini dilanda banjir kilat, ia termasuk sekitar DUN Sungai Tua iaitu Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua Tambahan, Kampung Laksamana, Kampung Nakhoda, Kampung Indian Settlement Batu Caves dan Kampung Arab di Selayang Baru.

SelangorKini pada 23 April lalu melaporkan seluruh daerah di negeri ini diramalkan mengalami cuaca hujan lebat dan ribut petir.


Pengarang :