Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Nik Ezanee Mohd Faisal ketika tinjauan di sekatan polis dan tentera di Lebuh Raya Persekutuan pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB jamin bekalan asas penduduk Sungai Lui cukup

BANGI, 7 APRIL: Bekalan asas penduduk di Sungai Lui, Hulu Langat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijamin mencukupi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan tersebut mampu menampung keperluan sehingga 13 April ini, termasuk persediaan stok tambahan jika PKPD disambung lagi.

“Keperluan barang kering atau basah, ikan atau ayam mencukupi, begitu juga dengan tuala wanita atau lampin pakai buang warga emas, semua cukup.

“Kita akui kehidupan tidak berjalan seperti biasa tetapi yang penting keperluan asas kita cukup,” katanya ketika ditemui selepas melawat Stesen Kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin yakin rantaian Covid-19 di Sungai Lui akan berjaya diputuskan jika masyarakat setempat mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kes positif Covid-19 di Sungai Liu mendatar sejak tiga hari lalu dan kita tengok bagaimana keadaannya beberapa hari lagi.

“Jabatan kesihatan telah melakukan saringan ke atas seramai mungkin penduduk di kawasan tersebut dan kita harap akan ada perkembangan baik untuk kita semua,” katanya.

PKPD dikenakan di kawasan Batu 21 hingga 24, Sungai Lui pada 30 Mac lalu susulan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengesahkan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di situ.


Pengarang :